Accessibility Tools

SELAMAT DATANG KE PORTAL IPGM

English Malay

      

Rektor IPGM
Assalamualaikum w.b.r
Salam Malaysia MADANI
Salam IPGM … Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Guru Bertaraf Dunia.

Hari-hari dunia berkembang maju dan berubah dengan pantas berikutan kemajuan sains dan teknologi serta ledakan Teknologi Maklumat dan Komputer. Kemajuan ini juga telah menukar “mindset” masyarakat yang tidak lagi bersifat bersendirian (isolate). Masyarakat telah mempunyai banyak medium dan turut memiliki medium sendiri untuk memberi pendapat dan kritikan. Perkembangan dan kemajuan yang berlaku dan terus berlaku telah memberikan natijah terhadap dunia pendidikan. Ilmu dan kemahiran baharu mulai muncul sesuai dengan ledakan sains dan teknologi. Sesungguhnya, perkembangan dan kemajuan ini menunjukkan betapa dinamik pendidikan dan kehidupan manusia.

Hari ini, murid-murid tidak lagi bergantung kepada guru dan sekolah untuk menguasai sesuatu ilmu pengetahuan dan kemahiran. Dengan pengetahuan dalam Teknologi Maklumat dan Komputer (TMK), mereka boleh mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Dahulu jika mereka berada di luar bandar besar dan kota metropolitan, penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka terbatas. Hari ini, di mana-manapun ceruk, dengan sokongan TMK, mereka mampu merentasi sempadan daerah, negara dan dunia untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Guru dan sekolah bukan lagi pusat ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi murid semata-mata.

Perkembangan dan kemajuan yang berlaku turut memberikan natijah terhadap Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melatih siswa guru menerusi kampus-kampusnya. IPGM dan IPGM Kampus (IPGMK) perlu menukar “mindset” . Kekal berada pada “mindset” lama bererti akan ditinggalkan atau dipinggirkan. IPGM dan IPGMK tidak boleh berada dalam zon selesa (comfort zone) dan bekerja dalam status quo “business as usual”. Oleh itu, IPGM dan IPGMK mesti berani membuka lembaran baharu (open the new horizon) untuk melihat dinamika perkembangan dan kemajuan dunia untuk diselarikan dengan strategi, kaedah, pendekatan dan maklumat kursus dalam pendidikan guru. Hal yang sama juga amat perlu dilakukan dalam bidang pengurusan dan tatakelola IPGM dan IPGMK. Oleh itu, menjadi tuntutan IPGM dan IPGMK mencabar proses (challenge the process) dalam gerak kerja dan strategi yang ada. Strategi baharu yang sesuai dengan cabaran baharu yang lebih kompleks perlu difikirkan. Ini suatu yang fundamental kerana masyarakat hari ini bukan lagi melihat kejayaan pada prinsip benchmarking tetapi kejayaan itu mesti signifikan dan bersifat quantum leap.

Dunia akan terus berkembang pantas dengan teknologi sistem maklumat dan komunikasi, robot dan kebijaksanaan rekaan (AI). Banyak pekerjaan yang ada pada hari ini akan diganti dan budaya (nature) pekerjaan juga berubah. Dahulu bekerja itu di pejabat tetapi telah beransur-ansur bekerja itu boleh sahaja di rumah menerusi sistem maklumat dan komunikasi. Dahulu bekerja itu menggunakan ramai tenaga manusia tetapi kini tenaga manusia digantikan dengan robot secara lebih meluas. Dahulu bekerja makan gaji tetapi kini beralih kepada ekonomi gig (freelancer). Perubahan yang pantas ini tidak cukup untuk masyarakat hanya menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan perubahan sains dan teknologi terkini tetapi masyarakat juga perlu mempunyai nilai diri yang tinggi dan jati diri yang kukuh. Hebat dan canggih manapun teknologi sistem maklumat dan komunikasi, robot dan A1, nilai diri dan jati diri tidak mampu dilaksanakan. Sesungguhnya, pendidikan nilai diri dan jati diri hanya dapat disempurnakan oleh seorang insan yang bernama guru. Sehubungan ini, IPGM dan IPGMK mesti berupaya menyemarakkan nyala rasa guru dalam kalangan siswa guru. Siswa guru yang mempunyai nyala rasa guru bukan sekadar tahu untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi berupaya menyambung tanggungjawab dan amanah untuk memanusiakan manusia dalam bilik darjah nanti.Dengan nyala rasa guru seseorang guru sanggup berkorban menjadikan dirinya ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Oleh itu, elemen MADANI dan karamah insaniah yang terdiri daripada adab, akhlak dan integriti mesti diterapkan secara langsung atau tidak langsung dalam pendidikan guru supaya siswa guru apabila sudah menjadi guru nanti, mereka dan sekolah berupaya melahirkan generasi human being dan bukan human doing.

Perubahan mesti dilakukan kerana kehidupan itu adalah dinamik dan sesuai dengan falsafah bahawa hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Falsafah ini perlu dihayati sekira IPGM, IPGMK, pensyarah dan siswa guru ingin sentiasa relevan dengan dunia yang berubah pantas. Lantaran itu, satu standard kualiti dalam tatakelola pengurusan dan gerak kerja pendidikan guru mesti dibina dalam meniti hari-hari yang penuh cabaran. Marilah warga IPGM yang ada di Cyberjaya dan IPGMK yang ada di merata pelosok negara untuk mengangkat budaya kerja yang sentiasa bersemangat (eager) dan tangkas (agile) tanpa menidakkan ihsan (compassionate). Saya mengajak semua untuk bersama-sama melangkah lebih jauh dan bergerak sepasukan dengan semangat ultruisme serta merangkai titik-titik (connecting the dots) menjadi Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Guru Bertaraf Dunia.

Sekian. Terima kasih.
DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
REKTOR  IPGM

Home  |  Terma & Syarat  |  Privasi  |  Keselamatan

Sila gunakan pelayar web versi terkini bagi paparan terbaik.
@ 2025, Institut Pendidikan Guru Malaysia. Hakcipta.
Terpelihara
001091
Today: 2
Yesterday: 4
This Week: 13
This Month: 38
Total: 1,091